Keajaiban Al-Quran diakui Sains & Fakta Ilmu






Bahagian ini, akan mendedahkan secara ringkas isu-isu berikut :


1) Kebenaran maklumat masa depan di dalam al-Quran
2) Kemenangan Byzantin
3) Fakta penting disebalik Perkataan Haman di dalam al-Quran
4) Kewujudan Alam Semesta


1) MAKLUMAT MENGENAI KEJADIAN MASA DEPAN DI DALAM AL-QURAN

Satu lagi aspek keajaiban Al-Qur'an ialah bahawa ianya mendedahkan lebih awal lagi beberapa peristiwa penting yang berlaku di masa hadapan. Ayat 27 surah al-Fath, sebagai contoh menyampaikan khabar gembira bahawa mereka akan menakluk Mekah yang mana ketika itu di bawah penguasaan masyarakat jahiliyyah.

"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulnya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, Insya Allah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan kepada dan mengguntingnya, sedang kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang hampir (Penaklukan Khaibar)." (Surah Al-Fath, 27)

Dalam pertimbangan yang lebih teliti, ayat ini seolah-olah mengumumkan satu lagi kemenangan yang akan terjadi sebelum kemenangan Mekah. Sebenarnya, seperti yang dinyatakan di dalam ayat, orang mukmin akan mula menakluk perkampungan Khaibar, yang mana ketika itu di bawah jajahan Yahudi dan kemudian memasuki Mekah. Pemberitaan mengenai peristiwa ini yang akan terjadi di masa hadapan hanyalah sebahagian dari kebijaksaan di dalam Al-Qur'an. Dan ini juga adalah bukti bahawa Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, Maha Mengetahui.

Kemenangan Byzantin adalah secebis daripada khabar berita yang diberikan mengenai masa hadapan, bersama-sama dengan maklumlat lain yang tidak diketahui oleh manusia ketika itu. Hal yang paling menarik mengenai peristiwa sejarah ini, yang akan kita lihat secara terperinci di lembaran berikutnya, iaitu kekalahan kerajaan Rom di kawasan paling rendah di permukaan bumi. Hal ini menarik kerana frasa 'kawasan yang paling rendah' secara khusus di tekan dalam ayat yang berkaitan dengan kemajuan teknologi ketika itu, ianya sangat jelas mustahil untuk membuat pengukuran dan menentukan titik yang paling rendah di muka bumi. Sebenarnya, ini adalah wahyu yang diturunkan kepada umat manusia dari Tuhan yang Maha Mengetahui.

2) KEMENANGAN BYZANTIN

Sepotong ayat menarik yang terdapat di dalam Al-Qur'an mengenai masa hadapan dapat dilihat dalam ayat pertama surah Rom, yang merujuk kepada empayar Byzantin, bahagian timur kerajaan Roman yang ada dahulu. Dalam ayat ini, ianya dinyatakan bahawa empayar Byzantin menemui kekalahan yang besar tetapi kemudianya ia mendapat kemenangan.

"Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah di permukaan bumi, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam berapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah. (Surah Ar-Rum: 1-4.)

Ayat ini diturunkan lebih kurang tahun 620 sebelum masihi, hampir 7 tahun selepas kekalahan teruk kerajaan kristian Byzantin di tangan kerajaan penyembah berhala Persia. Tetapi ia didedahkan di dalam ayat tersebut bahawa kerajaan Byzantin akan mendapat kemenangan kembali dalam masa yang singkat. Sebenarnya, Byzantin telah awal lebih sengsara menanggung kerugian yang besar yang kelihatan seolah-olah amat mustahil baginya, bahkan untuk kekal bertahan, untuk menang kembali. Bukan sahaja Persia, tetapi Avar, Slav, dan Vonhard juga memberikan ancaman yang besar kepada empayar Byzantin. Kerajaan Avar telah pun menjangkau dinding kota Konstantipol.

Maharaja Byzantin Heraklius telah memerintahkan supaya meleburkan emas dan perak di gereja-gereja untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan ketenteraan, apabila semua ini masih tidak mencukupi bahkan patung-patung gangsa juga dileburkan untuk tujuan yang sama. Banyak gabenor-gabenor memberontak menentang Heraklius. Dan empayar ketika itu berada dalam kedudukan hampir roboh. Mesopotamia, Alicik, Syria, Palestin, Mesir dan Armenia yang pada asalnya berada di bawah jajahan Byzantin, telah pun diceroboh oleh Persia.

Ringkasnya, semua yang ada ketika itu menjangkakan empayar Byzantin akan musnah. Tetapi pada ketika itu, ayat pertama surah Rum diturunkan memaklumkan kemenangan Byzantin dalam beberapa tahun. Kemenangan ini dilihat amat mustahil sehinggakan kaum Arab jahiliyyah mempersendakan ayat ini, mereka beranggapan bahawa kemenangan yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an itu tidak akan menjadi kenyataan.

Lebih kurang 7 tahun selepas ayat pertama surah Rom diwahyukan pada Disember 627 selepas masihi, peperangan sengit di antara Byzantin dan empayar Persia berlaku di Ninaveh, dan kali ini, askar Byzantin tidak disangka-sangka berjaya menewaskan tentera Persia. Beberapa bulan kemudian, kerajaan Persia telah membuat perjanjian degan Byzantin, yang mewajibkan mereka menyerahkan kembali kawasan yang mereka rampas. Di akhirnya, kemenangan kerajaan Rom yang dinyatakan oleh Maha Suci di dalam Al-Qur'an, menjadi kenyataan.

Satu lagi keajaiban yang dinyatakan di dalam ayat ini ialah perkhabaran mengenai fakta dari sudut geografi yang tidak diketahui oleh sesiapa pun ketika itu. Dalam ayat ke ketiga surah Rom, kita dimaklumkan bahwa kerajaan Rom telah ditumpaskan di bahagian paling rendah di permukaan bumi. Frasa 'Adna ard' dalam bahasa arab diertikan sebagai 'kawasan yang berhampiran' dalam kebanyakan penafsiran. Tetapi ini bukanlah pengertian literal dari kenyatan yang asal, tetapi lebih berbentuk pentafsiran secara kiasan (metaforik). Perkataan 'adna' dalam bahasa arab berasal dari perkataan' daniy' yang bermaksud 'rendah' dan 'ard' bermaksud bumi. Dengan itu kenyataan 'adna al-ard' memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi.

Apa yang menarik, saat penting peperangan yang terjadi di antara empayar Byzantin dan Persia ketika Byzantin di tewaskan dan kehilangan wilayah Jerusalem, benar-benar terjadi di titik paling rendah di muka bumi. Kawasan ini dikenali sebagai Teluk Laut Mati yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan. Laut mati yang terletak 395 meter di bawah paras laut, sebenarnya adalah kawasan paling rendah di muka bumi. Ini bermaksud bahawa kerajaan Byzantin telah ditewaskan di kawasan paling rendah di muka bumi seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut.

Seperkara yang penting di sini ialah fakta bahawa altitud Laut Mati hanya dapat diukur dengan teknik pengukuran moden. Sebelum itu, adalah amat mustahil bagi sesiapun untuk mengetahui bahawa ianya adalah kawasan yang paling rendah di muka bumi. Tetapi hal ini telah disebut di dalam Al-Qur'an, oleh yang demikian bukti ini sekaligus membuktikan bahawa Al-Qur'an adalah wahyu dari Maha Suci Tuhan.


3) FAKTA PENTING DI SEBALIK PERKATAAN HAMAN DI DALAM AL-QUR'AN

Maklumat yang diberikan di dalam Al-Qur'an mengenai tamadun mesir purba mendedahkan banyak fakta-fakta sejarah yang tidak dapat disingkap sehingga akhir-akhir ini. Fakta-fakta ini juga menunjukkan kepada kita bahawa setiap perkataan di dalam Al-Qur'an telah diturunkan oleh Maha Tinggi Bijaksana.

Haman adalah satu watak yang namanya disebut di dalam Al-Qur'an, bersama-sama dengan Firaun. Watak ini dirakamkan di dalam enam tempat yang berbeza di dalam Al-Qur'an. Sebagai seorang yang paling kanan kepada Firaun. Apa yang mengejutkan, nama Haman tidak pernah disebutkan di dalam kitab Taurat yang berhubung dengan sejarah kehidupan nabi Musa a.s. Bagaimanapun, nama Haman disebutkan di bahagian terakhir dalam kitab perjanjian lama sebagai pembantu kepada seorang raja Babylon yang menimpakan banyak kezaliman kepada bangsa Israel lebih kurang 1100 tahun selepas era Nabi Musa.

Segolongan penganut non-muslim, yang mendakwa bahawa nabi Muhammad s.a.w menulis Al-Qur'an dengan menyalin dari kitab Taurat dan Injil, juga menegaskan bahawa sewaktu proses ini Nabi s.a.w memindahkan beberapa subjek berkaitan yang terdapat di dalam kedua-dua kitab ini ke dalam Al-Qur'an secara tidak tepat.

Kemustahilan dakwaan-dakwaan ini akhirnya terdedah hanya setelah alpabet hiroglifik bangsa mesir berjaya ditafsirkan kita-kira 200 tahun lalu, dan nama Haman ditemui di dalam tulisan-tulisan purba. Misteri hiroglifik mesir purba akhirnya berjaya diselesaikan pada tahun 1799 dengan penemuan sebuah batu bersurat yang dinamakan 'Rosetta Stone' .

4) KEWUJUDAN ALAM SEMESTA

Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur'an dalam ayat berikut; “Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi”.( Surah al-An'aam:101.)

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini, yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun lalu.

setiap penyakit ada penawarnya..



Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”

(Abu Daud)

Huraian
1. Setiap penyakit ada ubatnya, jika bersesuaian ubat tersebut, maka ia akan sembuh dengan izin Allah S.W.T.
2. Meskipun Islam mengharamkan penggunaan bahan-bahan tertentu seperti najis, air kencing, alkohol dan sebagainya untuk tujuan perubatan namun terdapat keadaan di mana seseorang itu diberi keharusan (rukhsah) untuk berbuat demikian iaitu bilamana berada dalam peringkat darurat (kecemasan) dan tiada lagi ikhtiar-ikhtiar lain yang boleh dilakukan. Atau dengan lain perkataan diharuskan untuk yang terpaksa.
3. Dalam masalah ini pengambilan benda-benda yang haram sebagai ubat hendaklah sekadar perlu sahaja bagi menyembuhkan penyakit yang menimpa. Manakala rawatan tersebut mestilah dikendalikan oleh seorang doktor Muslim yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.
4. Rukhsah ialah hukum keringanan yang disyari'atkan oleh Allah dalam keadaan- keadaan tertentu (iaitu ketika dharurat) manakala pengertian darurat pula ialah kesusahan yang memudaratkan iaitu bencana yang tidak ada sesuatu yang boleh mencegahnya.
5. Selaku seorang Islam kita diwajibkan berikhtiar untuk mendapatkan rawatan yang halal dan menjauhi perkara yang haram apalagi yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah.


keluhan seorang Dai'e..

Letih. Letih memikirkan segala masalah di depan mata.
Namun, adakah wajar untuk aku letih?
Sebanyak mana usaha aku andai dibandingkan usaha Nabi dan para sahabat. Berapa banyak usahaku ini berbanding usaha Hassan al-Banna. Layakkah aku untuk berasa letih?

Kecewa.
Hampir setiap jalan yang cuba aku redah menemui jalan buntu.
Namun, adakah layak untuk aku kecewa? Sedangkan Rasulullah S.A.W. yang ditolak oleh kaum sendiri pun tidak berputus asa dalam perjuangan, siapalah aku untuk kecewa?

Sibuk.
Sibuk menjalankan amanah-amanah yang diberi.
Namun, layakkah aku untuk mengaku diri ini sibuk?
Jika aku sibuk, bagaimana dengan Imam Syafie', Imam Ghazali dan Imam Nawawi? Apalah aku dibanding dgn mereka yang jauh lebih sibuk dan jauh lebih hebat dari diriku.



Pedih.
Pedih hati dan fizikal ini apabila menghadapai ujian dalam perjuangan ini.
Namun, apalah erti kepedihan ini dibandingkan dengan Bilal bin Rabah yang dihimpit dengan batu kerana menegakkan kalimah Ahad?

Hampa.
Hampa apabila amar makruf nahi mungkar yang dijalankan tidak diendahkan.
Adakah ini alasan untuk berhenti berjuang?

Sedangkan Nabi Nuh yang beratus tahun berdakwah, hanya sebilangan kecil kaumnya mengikutinya, namun, adakah baginda berputus asa?

Adakah kita selaku pendakwah ini selalu mengeluh? Mengapa perlu kita mengeluh?
Sedangkan sewaktu kita mengaku keIslaman diri, kita sudah menandatangani kontrak dengan Allah. Kontrak seumur hidup. Kontrak untuk bekerja untuk agamaNya.

Jadi, mengapakah kita mengeluh? Tiada alasan untukku berputus asa. Hanya ada satu jalan untukku. Gigih berusaha!

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(At-Taubah:111)

Senyuman Rasulullah Banyak Bantu Misi Dakwah



BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.


Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,

“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.”
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,

“Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:

“Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”

Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu". Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.

Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).

Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

“Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"

Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:

“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.

ada batas yg menjarakkan..

Aku sudah terlelap kiranya. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Ada mesej!

"Dah tidur? Aku nak tanya sesuatu..." Pendek sahaja mesej itu
.
Jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Aku agak terkejut meneerima mesej dari dia. Mesej yang merangkumi pelbagai soalan dan tanda tanya. Dia masih seperti dulu. Sering saja melakukan perkara yang menimbulkan persoalan. Sifat itu masih ada rupanya dalam dirinya. Aku fikir dia sudah berubah sepenuhnya. Aku membalas mesejnya. Kami saling berbalas mesej buat sekian lamanya kami tidak berhubungan. Malam itu aku tidak dapat tidur dengan lena. Mesej dari kawan yang pernah aku akrab dulu. Dulu, kami memang berlainan jantina. Dia lelaki, aku perempuan. Takdir menempatkan kami berada dalam satu kelas. Aku diarahkan berpindah tempat duduk di belakangnya. Dia menegurku buat pertama kali. Aku masih ingat soalan yang diajukan.

“Kau selalu clubbing?”

Tidak pernah aku diajukan soalan seperti itu. Tetapi, aku segera mengerti. Pembawakan diriku mebuatku kelihatan seperti remaja yang terlalu sosial namun untuk menjejakkan kaki ke kelab malam agak mustahil bagiku. Aku tidak gemar akan suasana yang bising. Soalannya itu membuatku berasa tidak senang tentang dia. Namun, ada sesuatu antara kami yang merapatkan sekaligus menjadikan hubungan kami boleh digelar sahabat.

Aku masih ingat lagi Fatin berkata pada Nurul,
“Rina dengan Adam itu bagai isi dengan kuku, apa cerita Rina semua tahu.”

Waktu itu Nurul bercerita tentang Adam pada aku dan Fatin. Cerita tentang keburukan Adam. Aku mendengar sahaja. Mungkin apa yang diceritakan Nurul itu betul. Adam boleh dikategorikan pelajar yang kurang berdisiplin. Ada sahaja peraturan sekolah yang dilanggarnya. Namun, prestasi akademinya sentiasa berada di tahap yang teratas. Dia pernah merangkul gelaran pelajar lelaki nombor satu dalam tingkatan. Itulah yang membuatku kagum terhadapnya. Biarpun dia nakal, tetapi dia masih ingin memenuhi hasrat kedua ibu bapanya. Denganku, dia tidak sombong. Kami banyak berkongsi cerita. Kami saling bergelak ketawa. Kami saling bantu-membantu. Kamilah penghibur di dalam kelas. Rakan-rakan sekelas mengerti tentang persahabatan kami yang bagai isi dengan kuku.



Kedua-dua kami boleh dikatakan mempunyai perangai yang hampir sama, suka menyakat orang lain. Cuma ada sedikit perbezaan antara kami, tatkala dia merupakan pelajar harapan sekolah. Aku pula merupakan antara pelajar yang ketinggalan. Namun, dia tidak pernah menjadikan itu alasan untuk menjauhi aku. Mungkin ada yang negatif tentang dia. Kadang-kadang aku juga tidak senang dengan sikapnya yang mudah berlagak dengan kehebatan diri dan sering memandang rendah pada orang lain. Tetapi aku masih dapat menerimanya. Tidak semua orang sempurna. Sebaik manapun orang itu, pasti ada kelemahannya. Adam, sebelum mendapat tawaran di sekolah yang sama denganku, dia pernah bersekolah di sebuah sekolah agama selama tiga tahun. Aku pula hanya bersekolah harian biasa sebelum mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh kami.

Adam seperti yang dijangka, pasti mempunyai pengetahuan agama yang banyak berbanding diriku. Secara tidak langsung, dia pernah juga memberi nasihat yang tidak terlalu formal kiranya pada diriku. Dia tahu aku tidak memakai tudung di luar. Dia tahu aku mempunyai teman lelaki. Dia tahu aku bukanlah seperti pelajar-pelajar wanita di sekolah agamanya dahulu. Aku remaja perempuan yang jahil tentang agama. Aku pelajar perempuan yang mempunyai pergaulan yang luas di luar sekolah. Dia tahu semua itu. Tetapi mengapa dia masih mahu berkawan denganku? Mungkin kami sama-sama tahu tentang pergaulan remaja di luar sekolah. Cuma pengetahuan dia tentang agama jauh lebih mendalam dariku. Itu yang berbeza tentang kami. Tidak sampai setahun aku bersekolah dan berkawan dengannya, aku mengambil keputusan memakai tudung sepenuhnya. Allah menyampaikan utusan melalui rakan-rakan di sekelilingku.

Aku masih ingat pada suatu hari, aku, Adam dan rakan-rakan lain berborak-borak di dalam kelas. Tiba-tiba Adam bersuara, “Rina, apakata aku cabar kau supaya kau berpakaian menutup aurat dengan sempurna pada prep malam nanti?”
“Maksud kau?” aku tidak begitu mengerti.
“Maksud aku, kau memakai tudung labuh, stoking dan stoking tangan pada prep malam nanti.”
“Mana aku nak cari tudung labuh dan barang-barang yang lain itu semua? Aku mana pernah ada.” Aku kehairanan.
“Alah, kan ada juga pelajar sekolah ini yang bertudung labuh. Aku nak cabar kau tahu!”
Adam mengangkat kening tanda dia bersungguh.
“Apa yang aku dapat kalau aku sahut cabaran kau?”
Aku berpendapat mesti ada habuannya. Kalau tidak, sia-sia sahaja aku menyahut cabaran itu. “Aku beri kau dua ringgit.” Adam tersengih. Dua ringgit saja? Aku punyalah susah nak cari barang-barang itu semua tetapi dua ringgit saja dapat. Aku hanya mencebik.
“Tak cukup? Tak apa, kita tanya Fairul dan Hashim. Tengok mereka mahu ke tidak turut serta.”
Adam menoleh kearah Fairul dan Hashim dan menyatakan tentang cabaran itu. Aku lihat Fairul dan Hashim tersenyum dan mengangguk-angguk.
“Kami turut serta. Aku cabar kau dengan dua ringgit juga.” Fairul berkata.
“Aku lagi tinggi dari kau dua orang. Aku cabar kau dengan tiga ringgit.” Hashim ketawa nakal.
“Alahai, lebih seringgit saja. Nak bangga lebih-lebih pula.” Aku mengejek Hashim.

Jadinya, kesemua cabaran itu bernilai tujuh ringgit. Sebenarnya, aku tidaklah mahukan tujuh ringgit itu. Tidak mungkin aku kemahuan dengan duit yang tidak sampai sepuluh ringgit itu. Yang pasti, sudah lama juga aku berasa untuk memakai tudung labuh macam wanita-wanita yang wara’ pakai. Cuma tiada kesempatan. Tidak mungkin aku mahu memakainya secara suka-suka. Pasti kenalanku akan kehairanan dengan penampilanku jika aku memakainya. Masakan tidak, sikapku yang agak gila-gila dan tidak begitu menjaga peribadi sebagai wanita timur mahu berpenampilan bertudung labuh. Memang suatu perkara yang paling pelik berlaku. Petang itu, selepas habis kelas. Aku terus sahaja meluru pulang ke asrama. Tujuanku hanya satu, mahu mencari pakaian-pakaian tersebut. Tudung labuh, stoking dan stoking tangan. Aku meminta bantuan rakan-rakanku untuk bertanya tentang pakaian-pakaian itu. Ramai juga yang mengetahui tentang cabaran itu. Semestinya aku menimbulkan konspirasi terutama dalam kalangan naqibah. Mereka tidak begitu menyetujui tindakanku yang seolah-olah mempermainkan agama dalam menyahut cabaran yang hanya sia-sia belaka. Tetapi hati kerasku berkata mahu meneruskan juga cabaran itu. Bukan untuk tujuh ringgit tetapi untuk merasa memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Tidak pernah aku menutup aurat dengan sempurna selama aku hidup di bumi Allah ini. Jenuh juga hendak mencari tudung labuh di asrama aku. Akhirnya, aku berjumpa dengan salah seorang pelajar perempuan yang memang dikenali dengan wara’. Aini, orangnya semanis namanya. Kecil molek sahaja namun begitu lemah lembut apabila berkata-kata. Adam pernah juga bercerita tentang kekaguman dia tentang pengetahuan Aini dalam agama. Pertama kali, aku berborak dengan Aini untuk meminjam tudung labuhnya.



Ternyata orangnya begitu peramah dan baik hati. Jauh sekali meleset anggapanku yang wanita-wanita bertudung labuh merupakan golongan yang tidak bercampur-gaul dengan orang ramai dan menyendiri. Aini ternyata seorang yang senang diajak berbicara dan ringan hati untuk memberiku pinjam tudungnya. Jauh di sudut hati, aku berasa tersentuh dengan kehalusan budi dan tutur katanya. Aku masih ingat lagi, tudung labuh milik Aini itu berwarna biru laut. Aku mengenakan tudung itu dengan baju kurung yang berwarna biru kehijauan. Aku lantas teringat kata-kata ustazahku ketika aku sekolah agama dahulu.

“Nabi suka warna merah jambu, hijau, dan biru. Kenapa? Kerana merah jambu itu warna kuku kita, lidah kita dan bibir kita. Hijau pula warna alam ini. Tidak kurang dengan biru. Biru adalah warna laut.” Aku tersenyum.

Itulah tahun terakhir aku bersekolah agama. Selepas itu, aku langsung tidak bersekolah agama sejak umur 10 tahun. Aku suka sekolah agama kerana aku suka mendengar ustazah berbicara di hadapan kelas menceritakan sirah Nabi. Ustazah begitu pandai bercerita dan aku tidak pernah jemu untuk mendengar bicara ustazah. Ah, ternyata aku sekarang sudah jauh tersasar. Kalau aku tidak mengikut fesyen zaman sekarang, aku akan digelar kuno! Itu yang aku takuti. Takut digelar kuno! Malam itu, aku mengenakan tudung labuh milik Aini, baju kurung seniorku, stoking seniorku dan stoking tangan rakanku. Kelakar bukan? Segalanya aku pinjam dari orang lain. Keluar sahaja dari dorm, ternyata ramai yang kehairanan melihatku. Tidak kurang juga yang terkejut dengan penampilanku. Ada yang bertanya tentang pakaianku, namun aku lebih rela berdiam diri. Tidak mahu memberi sebarang komen.


Apabila aku menghampiri kelas, kelihatan ramai pelajar kelasku sedang menunggu kehadiranku. Tiga langkah, dua langkah aku hampir ke kelas. Rakan-rakan kelasku mentertawakanku. Aku jua turut tersenyum sahaja. Tidak mampu untuk bergelak ketawa bersama kerana aku kini adalah wanita bertudung labuh. Aku perlu menjaga peribadi sebagai wanita bertudung labuh. Aku terus sahaja melabuhkan punggung di kerusi. Tidak mahu melayan karenah rakan-rakanku yang begitu galak mengusikku.

Salah seorang rakan lelaki sekelasku berkata, “Macam inilah baru yang dikatakan wanita mahal.”

Kata-kata itu begitu terkesan dalam hatiku. Maksudnya, selama ini aku adalah murahan? Ya Allah, apakah yang telah aku lakukan? Aku menangis di dalam hati.

Suatu perasaan yang tidak pernah aku rasakan ada dalam diriku ini. Aku berasa begitu selamat apabila memakai tudung ini. Aku berasa tenang. Hanya Allah yang tahu bagaimana syahdunya perasaan itu. Pada malam itu, aku hanya berdiam diri. Adam ada juga menoleh sesekali padaku, dia hanya tersengih melihat kelakuanku yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Sungguh aku katakan, malam itu begitu bermakna dalam diriku. Kesudahan cabaran itu, aku tidak mendapat tujuh ringgit seperti yang dipertaruhkan. Aku tidak ingin mengambil pun duit itu andai mereka mahu memberinya kerana aku telah mendapat lebih dari tujuh ringgit. Jauh lebih bernilai dari tujuh ringgit. Berikutan malam itu, hatiku meronta-ronta untuk mengetahui tentang Islam yang telah aku ketepikan.


Aku mula bersungguh-sungguh mengikuti program-program agama yang dijalankan di sekolahku. Aku juga turut mendekati al-Quran yang telah lama aku tinggalkan. Rakan-rakanku sentiasa ada di sisi untuk membantu. Adam pula aku masih rapat dengannya. Aku tidak pasti sama ada dia sedar bahawa dia telah membawa perubahan besar dalam hidupku. Aku masih ingat lagi tarikh itu, 16 November 2007. Aku pulang ke rumah dengan azam baru. Aku benar-benar bertekad untuk mengenakan tudung di kepalaku. Kenalanku pasti terkejut dengan perubahanku. Aku sudah meninggalkan pakaianku yang ketat menampakkan susuk tubuhku. Aku tidak lagi mengenakan pakaian yang boleh menampakkan susuk tubuhku. Aku mula mengenal rasa malu untuk memperlihatkan bentuk tubuhku kepada lelaki. Aku sudah memutuskan hubungan dengan teman lelaki dan tidak berhubungan dengan mana-mana lelaki. Aku juga sudah mula membataskan pergaulanku dengan lelaki. Terima kasih, Ya Allah. Tahun 2008, apa jadi dengan Adam aku tidak pasti? Kami tidak lagi berada di dalam kelas yang sama. Mungkin itu yang terbaik buat kami. Mana mungkin kami boleh berkawan rapat.

Pada tahun itu jugalah yang menyaksikan perubahan dalam diri Adam. Hari demi hari berlalu, dia bukan lagi Adam yang kukenali dahulu. Dia kini seorang yang tamak pada jawatan. Adam juga bukan lagi seorang rakan yang ikhlas dalam berkawan. Apabila kami berjumpa pasti ada sahaja yang dia mahu meminta pertolongan. Dia kini berkawan apabila akan mendatangkan kebaikan buatnya. Aku dan Adam semakin renggang. Bukan aku seorang sahaja yang menyedari perubahan ini, malahan Fatin sendiri berkata, “Aku nampak sungguh perubahan kalian. Bagaimana kalian yang dulunya ibarat isi dengan kuku kini menjadi matahari dengan bulan, tiada lagi kelihatan seperti kalian boleh bersama-sama bergelak ketawa.” Aku hanya tersenyum mendengar celoteh Fatin.

Dalam diam, aku mengiakan kata-katanya. Aku turut jauh hati dengan sikap Adam. Kami hanya bercakap apabila benar-benar ada perkara penting yang perlu kami uruskan memandangkan kami bekerja di dalam biro yang sama. Adam pula sudah banyak kali aku dengar membawa mulut yang boleh menimbulkan salah faham antara rakan-rakan lelaki di sekolahku. Yang terakhir kalinya, aku mendapat tahu bahawa dia telah mengkhianati rakan baiknya sejak dari kecil dengan menyebarkan cerita yang tidak enak kepada orang lain. Bermula daripada itu aku tidak lagi bertegur sapa dengannya. Jikalau kami bertembung di sekolah, kami ibarat dua insan yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Aku tidak pasti sama ada aku boleh berkawan dengannya seperti dulu.

Aku tidak tahu sama ada dia pernah bercerita tentang keburukan aku kepada orang lain. Adam juga telah dipulaukan oleh pelajar lelaki di sekolahku kerana dia sering sahaja mereka-reka cerita tentang orang lain. Aku sungguh tidak dapat menerima perubahan besar dalam dirinya. Kadang-kala, aku teringat kata-kata yang berupa janji darinya padaku. ‘Aku pentingkan kawan selain keluarga aku’. Aku benar-benar kecewa dengan dirinya. Dalam masa yang sama, aku terhutang budi padanya. Kerana dia aku terbuka hati untuk berubah. Jikalau tidak kerana cabaran tujuh ringgit itu, mungkin sehingga sekarang aku masih tidak memakai tudung dan pergaulan sosialku masih lagi bebas. Mesej-mesejnya sebentar tadi membawaku kepada kenanganku ketika tingkatan empat.

"Dah tidur? Aku nak tanya sesuatu..."
“Sudah terlelap kiranya. Mengapa?”
“Ada perkarakah yang membuat kau marah padaku? Kau tidak suka padaku lagikah? Kita tidak seperti dulu, ketika tingkatan empat.” “Tingkatan empat sungguh berbeza. Kau tahu bukan waktu itu aku masih lagi jahil. Tiada perkara yang aku boleh marah pada kau. Tiba-tiba saja kau bertanya. Mengapa?”
“Bukan apa, kita rapat ketika tingkatan empat. Sungguh menggembirakan. Sekarang, kadang-kadang kau seperti menyindir aku bila bercakap denganku. Mungkin ada mesej yang kau mahu sampaikan padaku.”
“Kadang-kadang? Mungkin aku tersindir barangkali. Kau pun tidak kurang, banyak berubah ketika tingkatan lima. Aku tidak pasti sama ada aku seorang sahaja yang perasan tentang perubahan kau.”
“Aku akui ketika tingkatan lima aku sudah berubah. Tapi sekarang aku sudah kembali seperti dulu. Maafkan aku. Aku rindukan ketika kita berada di tingkatan empat. Sangat seronok.”
“Mungkin kau sudah belajar dari kesilapan. Aku juga rindu ketika kita di tingkatan empat dulu. Tapi untuk kita kembali berkawan seperti dulu, mungkin memerlukan masa. Kau selalu berbohong bila berkata. Kepercayaanku terhadap kau sudah musnah.” “Ceritalah padaku apa yang berlaku.”
“Aku sudah lupa tentangnya. Engkau lebih tahu dari aku, bukan?”
“Apa yang mampu aku lakukan lagi, Rina. Kau sudah tidak percaya pada diriku.”
“Sesuatu yang normal, Adam. Tidak semua orang boleh percayakan kita. Aku pasti kita boleh kembali seperti dulu. Aku belum lagi dapat melihat diri kau yang aku kenal ketika kita pernah menjadi sahabat dulu.”
“Baiklah. Aku tidak mahu memaksa. Sekurang-kurangnya aku sudah dapat memberitahu kau apa yang aku rasa. Terima kasih. Selamat malam.”

Adakah aku telah melakukan dosa memutuskan silaturrahim? Tidak mungkin aku boleh mengembalikan persahabatan kami. Dia lelaki, aku perempuan. Ada batas yang memisahkan antara kami. Mana mungkin aku berkawan rapat dengannya. Aku sudah berjanji untuk berubah. Aku sudah berjanji untuk menjadi insan yang lebih baik. Janjiku bukan pada sebarangan orang. Aku berjanji pada TUHAN Yang Maha Esa.

Hatiku berbisik, maafkan aku, Adam. Biarlah persahabatan kita berlalu begitu sahaja walaupun pahit. Aku percaya itulah yang sebaiknya buat kita.

Semoga Allah memberi petunjuk yang terbaik.


pemimpin..

Setiap individu yang berfikiran waras dan matang haruslah sentiasa bersedia dan kehadapan dalam isu-isu memilih pimpinan ini, mengenal seseorang pemimpin melaui sikap, kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu haruslah menjadi salah satu resepi bagaimana seseorang individu menilai bakal pemimpin yang mereka inginkan.

Tidak kira siapapun, kita diberi Allah S.W.T kelebihan masing-masing, samada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, samada kita selaku orang yang dipimpin kita punya hak untuk menjadi rakyat yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

Samada DIPIMPIN atau MEMIMPIN semuanya harus kembali kepada ALLAH S.W.T, yang lebih MAHA BERKUASA kepada hambaNYA.

Ramuan Memilih Pemimpin


Ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri Muslim sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta macam-macam lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati dan sempurna bila diadun.

Bersikap adil pada kehendak sosial haruslah difikirkan dengan lebih terbuka dikalangan kita. Menjadi “Juri” merupakan salah satu pilihan yang harus dipilih oleh kita sebelum menjadi “Hakim” terhadap pimpinan yang bakal dipilih.

Keadaan masyarakat, suasana sosial, kehendak sekeliling haruslah diambil kira dalam menilai siapakah pimpinan yang bakal menerajui sesebuah oraganisasi itu.

Silap Memilih, Hancur Bersilih

Silap menilai untuk memilih pemimpin yang terbaik seringkali menjadi kesalahan utama buat kita. Kesannya cukup-cukup terasa bila anda berada disisi pimpinan. Inilah kesilapan yang benar-benar membuatkan sesebuah organisasi itu hancur bersilih ganti, bila “warisan” ini dikekalkan dan diturunkan ia tidak mampu menjanjikan sesuatu perubahan, malah ia “menjanjikan” satu keadaan yang amat kucar-kacir.

Kerana simpati dan menjaga dasar-dasar persahabatan yang ikatannya yang dikatakan lebih dari saudara, kita sanggup menggadai kepentingan sosial yang jauh lebih utama untuk difikirkan dan dek kerana kemahsyurannya, kita kehilangan dan seolah-olah buta melihat manusia lain yang jauh lebih berbakat dan dek kerana secubit jasa yang kita pernah terima, kita tertutup minda untuk menilai pimpinan yang kita pilih dengan lebih mendalam.

Ianya jadi beban, beban yang berat bagi mereka yang merasai. Tidak dinafikan ianya cukup-cukup susah dan kritikal untuk dinilai, namun ianya satu yang subjektif untuk kita kaji serta huraikan dengan lebih terperinci siapakah pimpinan yang bakal kita pilih dan ianya bukan objektif untuk terus kita tentukan.

Itu kelebihan perkara yang subjektif. Tidak perlu tepuk dada tanya selera. “ketuk hati dan akal, selera itu pelbagai-bagai”.

"Walk The Talk"

Penghayatan pada bicaranya dan bertindak mengikut bicaranya
kemudian merubah bermula dengan dirinya sendiri. Siapapun kita bila menjadi pemimpin, kaedah ini haruslah dijadikan sandaran yang terbaik dalam melaksanakan “kerja” yang diberi.

Kita haruslah berani untuk menjadi seorang yang mampu melaksanakan perubahan didalam organisasi yang diceburi. Bekerja di atas dasar “tradisi” membuatkan organisasi berada di tampuk yang lama. Statik dan susah berubah.

Berubah merupakan kunci yang cukup-cukup penting dalam sesebuah kepimpinan, ia juga merupakan salah satu perkara yang harus diambil kira oleh mereka yang dipimpin untuk merubah pimpinan yang benar-benar berjaya. Memilih pemimpin adalah kerana prinsip, falsafah dan nilai yang mereka perjuangkan untuk rakyat. Kuasa adalah amanah dan kuasa adalah tanggungjawab.

Sejarah Satu Pengajaran

Sejarah mendidik kita untuk jauh menilai sesebuah kepimpinan itu dengan lebih matang dan terbuka. Walaupun hanya diperingkat bawahan, namun nilai dan pengajaran dalam sejarah kepimpinan harus diambil kira dan dihayati.

Sejarah membuktikan keberjayaan sesuatu bangsa dan negara itu bukanlah hadir semata-semata kerana kemajuan dan kemodenan semata-mata, namun sikap moral dan sosial sesebuah bangsa yang dipimpin oleh pemimpin yang benar-benar berprinsip teguh yang menjadikan negara itu maju dan berjaya.

Apabila Saidina Abu Bakar Al-Sidiq dipilih menggantikan tampuk pemerintahan Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar berucap di tengah-tengah rakyatnya .
“Saya telah diangkat menjadi ketua saudara sekalian walaupun saya bukanlah orang yang terbaik di antara saudara. Sekiranya saya berbuat baik, berikanlah pertolongan kepada saya, dan sekiranya saya melakukan kesalahan, betulkanlah kesalahanku itu. Ikutlah saya selagi saya menuruti perintah Allah dan Rasulnya, dan sekiranya saya mengingkari (perintah) Allah dan Rasulnya, saudara sekalian tidaklah patut taat kepadaku lagi.”


Konsepnya cukup cantik dan sempurna. Rendah diri dan berpegang pada prinsip membuatkan pemimpin itu disegani rakyat dan disayangi, dek kerana keluhuran budi yang pemimpin itu miliki, negara yang asalnya “ARANG HITAM” bisa bertukar menjadi “BERLIAN MEWAH”.

Kita selusuri pula sejarah pemerintah-pemerintah yang digulingkan rakyat, semuanya kerana apa? Semuanya kerana kesalahan yang pemimpin itu sendiri tidak mampu selindungkan, dinaikkan hanya kerana kerana nama serta dilantik hanya kerana kemahsyuran, bukan pada prinsip, idea dan perjuangan demi rakyat.

Betapa hinanya Ferdinand Marcos di Filipina yang digulingkan melalui “kuasa rakyat” kerana kesilapannya menjadi pemimpin, beliau “diratah” rakyatnya kerana membencikan beliau dan inilah juga caranya Presiden Suharto terpaksa meletakkan jawatannya setelah dipaksa oleh protes popular rakyat Indonesia begitu juga kisah maharaja Syah di Iran yang dijatuhkan takhtanya akibat revolusi rakyat Iran, semuanya kerana apa?

Tanpa prinsip dan kebijakan bersosial, siapapun boleh jatuh. Kini kita sudah jauh dihadapan, warga muda haruslah memandang jauh kehadapan. Kualiti pemikiran kita yang benar-benar matang merupakan ukuran asas untuk kita menentukan dunia masa akan datang. Segala terletak di tangan kita dan di AKAL FIKIRAN kita. Tiada manusia yang sempurna, namun tidak salah mempelajari kesempurnaan. Sekadar sumbangan fikrah untuk dihayati dan didengari.

lelaki pilihan Allah..

Lelaki Pilihan Allah,
ialah lelaki yang beriman,
Yang hatinya bersalut rasa takqwa,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap islam ,
Yang sentiasa dahagakan ilmu,
Yang haus akan pahala,

Di mana solat adalah maruah dirinya,
yang tidak pernah takut berkata benar,
yang tidak gentar melawan nafsu
yang sentiasa bersama orang-orang yang berjuang di jalan ALlah,


Lelaki Pilihan Allah ,
Adalah lelaki yang menjaga tutur katanya,
yang tidak megah dengan ilmu yang dimilikinya,
yang tidak angkuh dengan harta yang dicarinya,
yang sentiasa membuat kebajikan kerana hatinya yang penyayang.

Lelaki pilihan Allah..
Sentiasa sedia untuk menjadi imam,
yang masjid dijadikan rumahnya
Yang hidup dibawah naugan Al-Quran
serta sentiasa mencontohi Rasulullah,
yang boleh dibawa berbicang dan berbicara,
yang menjaga matnya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran


Lelaki Pilihan Allah...
Adalah lelaki yang tidak pernah membazir masa,
matanya penat kerana membaca,
suaranya lesu kerana berzikir dan mengingati Allah,
tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
bangunya pada subuh dengan penuh kecerdasan,
usia bertambah selari dengan kematangan,


Lelaki pilihan Allah,
sentiasa mengingati mati,
yang baginya dunia adalah ladang akhirat,
yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik,
meneruskan perjuangan islam sebelum hari kemudian ,

Lelaki pilihan Allah...
adalah yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
kerana mengimpikan syurga
dan merindui redha Illahi
kerana itulah matlamat akhirnya.....

( Ya Allah...jadikan aku lelaki pilihan MU )